Wednesday, May 4, 2011

Hari-Hari Cikgu Main Bola





Hargai jasa guru didik anak bangsa



2011/05/16
“CIKGU suka main bola, hari-hari cikgu main bola, Cikgu suka main bola, hari-hari cikgu tidur.

“Cikgu sudah tidur mari kita main.”
Demikian bait dipetik dari filem komedi popular berkisarkan kehidupan seorang guru. Betapa penting dan besarnya peranan guru dalam bilik darjah yang mampu mempengaruhi anak didiknya. Bak kata pepatah, guru kencing berdiri anak murid kencing berlari.
Terdapat sindiran sinis dalam filem ini yang mampu membuka fikiran umum bahawa guru contoh terbaik dalam mewarnai dunia akademik. Jika guru tidak menjalankan peranan sebagai ejen mendidik maka akan terbentuk suatu keadaan yang dipaparkan itu.

Guru golongan penting dalam pembangunan sesebuah masyarakat. Sebagai pendidik, mereka diamanahkan untuk membimbing, membentuk dan membina warga muda yang dapat memenuhi aspirasi negara.

Jangan cuba sekali-kali menafikan sumbangan dan jasa guru kepada kita. Pengorbanan mereka mendidik anak bangsa sememangnya tidak dapat dipertikaikan.

Kerajaan kini begitu agresif dan fokus dalam menjalankan perancangan dan strategi menggunakan pendekatan transformasi berkaitan aspek ekonomi, masyarakat, perkhidmatan, cara kerja dan pemikiran. Perubahan demi perubahan diolah supaya dunia pendidikan negara mampu bersaing di rantau dunia.
Sempena hari guru ini, mari kita renungkan pencapaian diri, di mana kita berada? Adakah kita akan berada di tahap sekarang tanpa sokongan dari seorang guru? Tepuk dada tanya selera.

Seseorang yang tidak pernah mengharapkan balasan dalam buatannya, seorang yang tekun mendidik walau ada murid mencebik, seorang yang tidak luntur minatnya memberi nasihat walaupun ada murid tidak berminat, seseorang yang menitiskan air mata apabila muridnya berjaya.

Apa yang pasti, pengorbanannya wujud tanpa disedari, kesungguhannya wujud tanpa dirasa, kepayahannya wujud tanpa didengar dan perjuangannya wujud tanpa ada noktahnya. Terima kasih cikgu.

SHAHRIL ANUAR ABDUL GHALIM,
Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti
Teknologi MARA Melaka

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Hargaijasagurudidikanakbangsa/Article/index_html

Tulisan Arab Da

Nasihat

Nasihat untuk mereka yang bergelar anak.
-dipetik dari Buku Hikayat Abdullah (Abdullah Bin And Kadi Munsyi)

Maka setelah genaplah bulannya dan harinya, pada saat yang tersebut diatas itu, maka aku pun jadilah. Dan lagi, beberapa susahnya ia memeliharakan aku daripada waktu kecilku. Maka umpamanya jikalau barang suatu kena di kakiku, rasanya seperti di biji matanya. Demikianlah kasih ibu akan anak. Maka jikalau kiranya umurku seratus tahun lamanya, sentiasa aku berbuat kebaktian kepada ibuku sekalipun, belumlah pada-pada sekali aku berbalik dalam perutnya, dirasainya sakit itu. Maka pada masa aku kecil, tatkala ia tidur lelap bahawa menangislah aku; maka terkejutlah ia dengan tergopoh-gopoh serta pula dengan muka manis ia membujuk aku serta dihiburkannya akan daku dengan berbagai-bagai ragamnya dan nyanyinya, sehingga mengantuknya itu pun hilanglah, dipangkunya bermalam-malam, tersengguk-sengguk mengantuk pula serta diberinya susu aku hisap. Lagipun dengan hal miskin bondaku tiada berhamba dan tiada pula beradik kakak yang menolong akan dia. Sebab kasihnya akan daku, dipangkunya juga, maka tiada pula ia percaya memberikan aku ke tangan orang lain, takut barangkali orang mengapakan akan daku.

Syahadan, jikalau aku terkenang-kenang akan kasih ibuku itu, adalah aku menanggung seberat bumi dengan langit kasih ibu bapa itu, tiadalah ia dapat aku membalas, melainkan sehari-hari aku mendoakan dia mudah-mudahan diberi Allah akan dia syurga / tempat kediamannya, bersama-sama dengan segala orang yang telah dikasihani Allah akan dia selama-lamanya. Amin! Amin! Amin!

****

Dengarkan olehmu, hai sekalian anak yang berbudi dan yang berbahagia, bahawa demikianlah besarnya kebajikan ibu bapa itu akan anaknya. Adakah patut kita derhaka akan dia dan tiada kita menurut akan perintahnya dan kita memecahkan hatinya dan kita mengeluarkan air matanya? Maka adalah beberapa anak-anak pada zaman ini yang telah kulihat menderhaka akan ibu bapanya. Maka ada pula yang memukul dan memaki ibu bapanya itu. Dijauhkan Allah kiranya aku daripada anak-anak isi neaka itu! Maka tiadalah aku lanjutkan akan perkataan ini karena bukannya hajatku mengarang yang demikian. Maka jikalau kiranya aku karangkan darihal kasih ibu bapa akan anaknya, nescaya cakaplah kujadikan suatu kitab yang terkaya adanya daripada kitab ini bagi segala orang yang budiman.

Selamat Hari Ibu!
untuk mama...

dari ayah, akmal, nurin dan fina

Tuesday, May 3, 2011

Sekolah Buta Huruf

Surat Pembaca Berita Harian

Mana resolusi ringankan beban guru?


http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Manaresolusiringankanbebanguru_/Article
04/05/2011

APABILA memperkatakan mengenai isu beban kerja berlebihan yang dihadapi guru sekolah boleh diibaratkan seperti air pasang. Ada naik dan ada surutnya. Isu ini akan timbul sekejap dan bermacam perdebatan akan dapat kita baca dan ikuti, baik di dada akhbar atau sumber media massa yang lain. Kemudian secara perlahan-lahan ia akan senyap dan lenyap kembali.

Guru pun mungkin sudah tidak berminat lagi untuk menyuarakan perasaan mereka berkaitan hal ini malah, terpaksa menerima hakikat bahawa tiada apa yang akan berubah dalam isu ini.

usteru, apakah hasil daripada jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Kementerian Pelajaran untuk mengkaji beban kerja guru yang dikatakan kian bertambah ini? Sudah hampir setahun jawatankuasa ini ditubuhkan, tetapi apakah hasil serta tindakan susulan daripada kajian itu.
Apa yang nyata, guru terus dibebankan waktu mengajar yang terlampau banyak dan ditambah pula terpaksa memikul tugas yang di luar bidang hakiki mereka. Ada guru dipertanggungjawabkan ini untuk mengajar sehingga 28 waktu seminggu. Itupun selepas terpaksa berjumpa dan merayu dengan pihak pentadbir sekolah untuk mengurangkan waktu mengajar yang pada asalnya ditetapkan sebanyak 31 waktu mengajar.

Itu belum lagi ditambah dengan tugas lain seperti guru disiplin, guru kelab dan persatuan serta bermacam lagi tugas ‘perkeranian’ yang terpaksa dihadapi. Jadi apa bezanya keadaan sebelum dan selepas jawatan kuasa itu ditubuhkan?

Walaupun ada pembantu guru yang dihantar untuk membantu dan meringankan beban kerja guru, tetapi apa yang terjadi adalah sebaliknya. Pembantu guru ini diambil kesempatan pula oleh pihak pentadbir sekolah untuk meringankan kerja mereka sendiri. Akhirnya bukan guru yang mendapat manfaat daripada kehadiran pembantu guru ini, tetapi yang untungnya adalah pihak pentadbir sekolah.

Saya berharap agar kerajaan dan Kementerian Pelajaran bersikap lebih telus dan serius untuk menyelesaikan masalah beban kerja guru ini. Bukannya sekadar duduk di pejabat, menerima laporan daripada pegawai mereka dan kemudiannya membuat dasar yang tidak bersandarkan realiti sebenar masalah perguruan di negara ini.

MIENAMI,
Puchong, Selangor.