Wednesday, May 4, 2011

Hari-Hari Cikgu Main Bola





Hargai jasa guru didik anak bangsa



2011/05/16
“CIKGU suka main bola, hari-hari cikgu main bola, Cikgu suka main bola, hari-hari cikgu tidur.

“Cikgu sudah tidur mari kita main.”
Demikian bait dipetik dari filem komedi popular berkisarkan kehidupan seorang guru. Betapa penting dan besarnya peranan guru dalam bilik darjah yang mampu mempengaruhi anak didiknya. Bak kata pepatah, guru kencing berdiri anak murid kencing berlari.
Terdapat sindiran sinis dalam filem ini yang mampu membuka fikiran umum bahawa guru contoh terbaik dalam mewarnai dunia akademik. Jika guru tidak menjalankan peranan sebagai ejen mendidik maka akan terbentuk suatu keadaan yang dipaparkan itu.

Guru golongan penting dalam pembangunan sesebuah masyarakat. Sebagai pendidik, mereka diamanahkan untuk membimbing, membentuk dan membina warga muda yang dapat memenuhi aspirasi negara.

Jangan cuba sekali-kali menafikan sumbangan dan jasa guru kepada kita. Pengorbanan mereka mendidik anak bangsa sememangnya tidak dapat dipertikaikan.

Kerajaan kini begitu agresif dan fokus dalam menjalankan perancangan dan strategi menggunakan pendekatan transformasi berkaitan aspek ekonomi, masyarakat, perkhidmatan, cara kerja dan pemikiran. Perubahan demi perubahan diolah supaya dunia pendidikan negara mampu bersaing di rantau dunia.
Sempena hari guru ini, mari kita renungkan pencapaian diri, di mana kita berada? Adakah kita akan berada di tahap sekarang tanpa sokongan dari seorang guru? Tepuk dada tanya selera.

Seseorang yang tidak pernah mengharapkan balasan dalam buatannya, seorang yang tekun mendidik walau ada murid mencebik, seorang yang tidak luntur minatnya memberi nasihat walaupun ada murid tidak berminat, seseorang yang menitiskan air mata apabila muridnya berjaya.

Apa yang pasti, pengorbanannya wujud tanpa disedari, kesungguhannya wujud tanpa dirasa, kepayahannya wujud tanpa didengar dan perjuangannya wujud tanpa ada noktahnya. Terima kasih cikgu.

SHAHRIL ANUAR ABDUL GHALIM,
Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti
Teknologi MARA Melaka

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Hargaijasagurudidikanakbangsa/Article/index_html

1 comment:

  1. Jasa Guru Usah disanjung Terlalu Tinggi

    Tanggal 16 Mei setiap tahun merupakan hari keramat bagi murid-murid mengingati jasa dan pengorbanan guru mendidik anak bangsa sehingga menjadi manusia yang berguna dan berjaya. Janganlah hanya nama sambutan hari guru, seorang guru menjadi lupa diri sehingga sanggup meminta-minta.
    Walaupun ketika ini, berbagai keistimewaan yang diperolehi oleh golongan guru, tetapi perlu diingat guru juga adalah manusia biasa punya hati dan perasaan. Setiap guru haruslah diberi perhatian secara adil dan saksama dalam apa jua aspek keistimewaan tersebut. Ditakuti profesion ini dicemari dengan sesetengah golongan guru hanya mementingkan imbuhan, bayaran yang tinggi dan penghargaan yang menggunnung.
    Terdapat pada hari ini guru membuat pengumuman di perhimpunan murid dikehendaki menyediakan hadiah sebagai menghargai jasa guru masing-masing (tidak semua). Setiap tindak tanduk seorang guru akan menjadi contoh oleh muridnya sendiri. Jangan sampai bak kata pepatah, ketam ingin mengajar anaknya berjalan lurus.
    Memang benar menurut saudara Shahril Anuar Abdul Ghalim, kebanyakan filem-filem lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee mengandungi maksud yang tersirat dan juga terdapat sindiran kepada semua lapisan masyarakat termasuk seorang guru. Jika diselami lagi filem ”Masam masam manis”, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee sebabai cikgu …….. telah melakukan kerja sambilan diwaktu malam sehingga tugasan hakiki sebagai seorang guru terabai.
    Memang tidak dinafikan sumbangan guru. Setiap insan yang ada didunia ini memerlukan jasa seorang guru. Jika tidak kerana guru maka kita tidak akan ada dimana kita berada sekarang ini. Apatah lagi, penat lelah seorang gurulah pada hari ini kita menikmati kebahagiaan hidup.
    Kesimpulannya, pada ketika ini tidak kiralah insan yang bergelar seorang guru, pelajar, pemimpin atau sebagainya haruslah sentiasa bersyukur diatas semua kurniaan Allah SWT kerana telah menganugerahkan guru-guru yang telah berjaya membentuk keperibadian unggul kepada pelajar-pelajarnya yang berjaya.
    Begitu juga, pelajar-pelajar yang kurang menyerlah janganlah kita cepat menyalahkan sepenuhnya kepada guru-guru kerana jika jasa dan pengorbanan guru boleh dinilai dalam bentuk angka boleh dianggap jasa golongan guru mencapai 70 % dan selebihnya terpulanglah kepada pelajar itu sendiri untuk menentukan jalan hidup masing-masing.
    Benarlah maksud hadis Nabi SAW: “Sekiranya manusia itu memilih dunia hendaklah dengan ilmu, sekiranya menginginkan akhirat hendaklah dengan ilmu dan sekiranya menginginkan kedua-duanya maka juga hendaklah dengan ilmu”. Maka tidak dikatakan belajar ilmu jika tidak berguru, hargailah jasa guru.

    Abd Halim Kamat
    Bestari Jaya

    ReplyDelete