Tuesday, August 23, 2011

Berpuasa dibulan ramadhan




Pengertian Puasa kepada anak-anak.

Didikan agama amat penting kepada anak-anak terutamanya anak kecil. Namun sejauh manakah cara kita mendidik anak-anak supaya melakukan ibadah puasa menepati kehendak islam. Adakah kita hanya perlu menaikkan semangat dan kehendak mereka berpuasa dengan menjanjikan sesuatu yang berharga seperti duit raya, mainan atau sebagainya. Atau memberi didikan mengenai ibadah puasa dengan pengertian dan makna yang sebenar. Persoalannya bagaimanakah caranya ?

Seperti ibadah solat memerlukan tempoh yang lama kepada kita untuk memahami makna sebenar ibadah tersebut. Begitu juga kepada ibadah puasa dan ibadah-ibadah lain. Memandangkan cabaran mendidik anak-anak kecil zaman ini amat mencabar dan memerlukan kesungguhan dan kesabaran yang tinggi. Demi mencapai metlamat kebahagian hidup didunia dan akhirat.

Apabila meninggal seseorang anak adam segala yang dimiliki didunia ini tidak akan menurutinya kedalam kubur, tetapi hanya 3 sahaja perkara yang akan menjadi bekalan kepada kita iaitu Sedekah jatiah, ilmu yang bermanfaat dan dan doa anak-anak yang soleh. Adakah matlamat kita mendidik anak benar-benar akan membuah hasil seumpama itu nanti.

Adakah anak keturunan kita nanti akan mendoakan keampunan dan kebahagian kita nanti. Mudah-mudahan, marilah kita berusaha berdoa dan bertawakkal kepada Allah supaya diberikan petunjuk dan jalan kepada kita ibu-ibu dan bapa-bapa muda mendidik anak yang akan mewarisi islam daripada kita.








Friday, August 12, 2011

GENERASI AL-QURAN SEBENAR


"GENERASI AL-QURAN GENERASI RABBANI"


Sempena Bulan Ramadhan Al-Mubarak dan hadirnya peristiwa besar Nuzul Al-Quran pada bulan ini marilah kita menggandakan amal ibadah dengan menjadikan Al-Quran sebagai panduan, sebagai rujukan dan sebagai pembentuk jiwa agar kita begitu hampir dan bertaqwa kepada Allah SWT, dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita akan mendapat kebaikan di dunia mahupun di akhirat.


Khutbahjumaat(rumi)12082011


http://e-masjid.jais.gov.my/index.php/ekhutbah/rumi







Tuesday, August 9, 2011

Persoalan Agama: Berakhlak mulia dengan isteri

Persoalan Agama: Berakhlak mulia, bersabar dengan sikap isteri
Bersama Ustaz Zahazan Mohamed

2011/06/12

ASSALAMUALAIKUM. Apa pandangan Islam mengenai seorang suami yang hanya menganggap isteri hanyalah tukang masak, kilang mengeluarkan anak dan tempat bersenang-senang apabila diperlukan. Tidak tahu menjaga perasaan isteri dan susah untuk senyum. Adakah tugas suami hanya memberi nafkah, tempat tinggal dan makanan.

Selangor.
Alhamdulillah wassolatuwassalam ‘ala rasulillah waba’d

Allah SWT berfirman dalam surah ar-Rum ayat 21 bermaksud: Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai golongan lelaki), isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.

Dalam ayat ini dijelaskan matlamat pernikahan bagi mencapai ketenangan jiwa, cinta dan kasih sayang. Semua ini berkaitan dengan rohani bukan jasmani. Jika matlamat itu diabaikan, rumah tangga tidak bernilai dan pernikahan antara dua insan hanyalah pertemuan dua tubuh, sedangkan roh (jiwa) keduanya berjauhan.

Syariat Islam mewajibkan suami memenuhi tuntutan jasmani bagi isterinya seperti nafkah, pakaian, tempat tinggal, ubat-ubatan dan lain-lain. Tuntutan isteri mestilah sesuai dengan keadaan suami. Kemudian syariat Islam tidak mengabaikan hak isteri dari sudut kerohaniannya kerana manusia tidak dinamakan manusia kecuali dengan adanya roh.
Tetapi ramai kalangan suami yang salah anggap, di mana mereka menyangka kewajipan mereka terhadap isteri hanyalah memberi nafkah, pakaian dan tempat tinggal. Tidak ada lagi kewajipan mereka selain daripada itu kerana mereka lupa bahawa wanita berhajat, bahkan lebih berhajat kepada kata-kata yang baik, senyuman manis, sentuhan kasih sa-yang, ciuman yang menyenangkan, perilaku yang lemah lembut dan gurauan yang menyenangkan hati, menghilangkan dukacita serta membahagiakan hidup. Semua ini sangat diperlukan wanita sebagai mana mereka berhajat kepada pakaian, nafkah, tempat tinggal dan keperluan material yang lain.

Imam al-Ghazali menyebut sebahagian hak suami isteri dan adab bergaul dalam rumah tangga dan dia menyatakan jika hak dan adab bergaul itu tidak diwujudkan dalam rumah tangga, maka rumah tangga akan hancur. Antara adab dinyatakan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW ialah:

  • Berakhlak mulia di hadapan isteri dan bersabar dengan sikap buruknya.
    Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 19 bermaksud: “Dan bergaullah dengan mereka dengan makruf (baik).
    Imam al-Ghazali berkata: Ketahuilah bukanlah seseorang itu disebut berakhlak mulia kalau dia hanya menahan diri daripada menyakiti wanita, tetapi yang dimaksudkan dengan berakhlak mulia ialah orang yang menanggung keburukannya, dan lemah lembut kepada wanita ketika wanita berkeras dan marah.”

  • Hendaklah bergurau dengan isteri sebagai mana yang disebut Imam al-Ghazali: “Suami hendaklah bergurau dan bermain-main kerana ia akan menyenangkan hati wanita. Contohnya, meskipun Umar keras dan tegas peribadinya, namun beliau berkata: Sewajarnya suami seperti anak kecil, tetapi jika anggota keluarganya menghendaki sesuatu daripadanya, mereka mendapati dirinya seorang lelaki.” Demikianlah, Wallahua’lam.

  • http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PersoalanAgama_Berakhlakmulia_bersabardengansikapburukisteri/Article

    Wednesday, July 27, 2011

    Gen Q - Generasi al-Quran Kreatif











    Generasi Al-Quran Kreatif

    “Jika ditanya kepadaku tentang alam remaja, nescaya aku akan berkata: tiada kehidupan yang lebih singkat daripada menerima ilmu yang luas.”

    (Ibnu Sina, ilmuwan Muslim)

    Kata-kata itu sudah cukup menggambarkan betapa pentingnya menuntut ilmu bermula dari awal kehidupan yang singkat, lebih-lebih lagi pada usia remaja yang penuh dengan ranjau. Maksud ranjau di sini adalah rintangan yang dihadapi oleh remaja atau generasi kini yang dipenuhi dengan pengaruh-mempengaruhi yang sukar untuk dibandingkan antara

    kebaikan atau sebaliknya.

    Kesedaran perlu ada bagi setiap diri insan yang bernama remaja Islam supaya tidak terjebak dengan pendekatan sekular yang ingin melihat kehancuran Islam di dunia ini. Mereka, pembawa sekular yang jahat, menanam ideologi buruk dengan menghidangkan kesukaan remaja dan mengasingkan agama dalam kehidupan. Usul mereka biar agama dengan bab agama dan budaya dengan isi budaya – tiada boleh disamakan. Juga, mereka menjadikan Islam sebagai agama keturunan dan ibadat dianggap sebagai satu adat. Sehingga lama-kelamaan ada yang menganggap beragama itu sebagai lambang kekolotan.

    Ini amat bertentangan sama sekali dengan ruh Islam yang mahukan Islam sebagai jalan hidup. Tidak kira sama ada dalam bab agama, kerjaya, pelajaran, perkahwinan, pergaulan, budaya, hiburan dan keseluruhan perjalanan hidup sebagai seseorang yang bergelar manusia, jiwa al-Quran dan Islam mesti diutamakan.

    Sememangnya Islam itu amat luas dan infiniti, maka tidak dinafikan musuh sentiasa mengikuti perkembangannya dan menunggu peluang untuk menanam benih sekular ke dalam jiwa generasi kini melalui hiburan dan keseronokan. Ini bukanlah sesuatu yang elok bagi generasi kini dan patut dibendung sama sekali.

    Dengan kesedaran itu, Generasi al-Quran Kreatif – Gen-Q dibentuk untuk memulangkan dan menjawab penentangan musuh Islam yang menyelusup secara senyap ke jiwa remaja Islam. Penentangan total semestinya dilakukan tanpa menanti keajaiban yang akan datang di kemudian hari. Tiada istilah berlengah-lengah dalam kehidupan ini bagi orang yang inginkan kejayaan.

    Dengan itu juga, Gen-Q meletak batu asas untuk membawa remaja atau generasi kini agar sentiasa mengingati bahawa Islam itu benar dan al-Quran itu sebagai petunjuk jalan ke arah ketakwaan kepada Allah s.w.t. Motif kehadiran Gen-Q adalah untuk membimbing remaja bersama-sama menjadikan Islam sebagai jalan hidup dan menjadikan komuniti ini sebagai manual remaja bertakwa.

    Sebagai titik permulaan, Gen-Q diterbitkan dalam bentuk majalah untuk membawa dan membimbing jiwa-jiwa muda yang bakal menjadi pemimpin di masa hadapan agar istiqamah di landasan Islam. Dengan tawaduk, beberapa penulis dengan sebulat hatinya menawarkan diri untuk menyampaikan ilmu dan tazkirah juga teks santai sebagai alternatif kepada bahan pembacaan terkini.

    Apa yang menarik dalam majalah Gen-Q?

    Terbitan majalah terkini dan berkualiti daripada Telaga Biru Sdn Bhd dan diedarkan secara ekskluisif oleh Stormreaders Network Sdn Bhd ini meletakkan seratus peratus jalan Islam di dalam majalah Gen-Q. Kolumnis-kolumnisnya mempunyai latar belakang pendidikan Islam yang kuat dan mempunyai keazaman untuk membimbing generasi kini ke arah keredaan-Nya.

    Antara yang menarik – Hikmatun Balighah, kolum yang mendekatkan diri generasi baru dengan al-Quran yang disertai tafsir mudah dan padat. Taman Hadis, kolum untuk memahami isi sesuatu hadis Rasulullah s.a.w. Novel Bersiri, sudut penulisan sastera yang Islamik. Uswah, kolum pelajar cemerlang yang menuntut di luar negara. Tanyalah Cikgu dan Tanyalah Ustaz, soal-jawab tentang psikologi pelajar dan juga kekeliruan dalam bab agama.

    Al-Quran dan Sains, kolum tentang rahsia sains yang terkandung dalam al-Quran. Salafus Soleh, kisah sahabat yang boleh dijadikan teladan dalam mengharungi kehidupan seharian. Tip-tip, doa-doa, pengetahuan am, fiqah, amalan harian, tazkirah, motivasi dan pelbagai rencah dan rempah ratus yang mengisi ruang dalam majalah Gen-Q yang menjadikannya sebagai penyebab untuk pembaca memilikinya.

    Selain itu, majalah Islamik ini digarap dengan foto serta ilustrasi yang amat menarik, sesuai untuk pembaca memahami sesuatu isu yang diketengahkan. Juga, disusuli penulisan satira dan kartun yang menggeletek hati tetapi mempunyai pengajaran dan manfaat daripadanya. Persembahan reka bentuknya pula menepati cita rasa kini.

    Menjadi pelopor kepada majalah remaja Islamik

    Sememangnya hajat penerbit yang mahukan dakwah menjadi teras kepada setiap apa yang diterbitkan, maka lahirnya majalah Gen-Q mengisi salah satu ruang yang masih kosong dalam bidang penerbitan majalah, iaitu pengisian Islami ke dalam jiwa remaja dan generasi baru.

    Tidak boleh berkata tidak, setiap remaja yang dilahirkan Islam wajib istiqamah dalam pegangannya. Peranan ibu bapa dan pendidik pula adalah memastikan anak tanggungannya sentiasa mengikut rapat dalam lingkungan syariat Islam. Penerbitan majalah Gen-Q ini, dengan izin Allah, sebagai sekelumit bantuan kepada merealisasikan tanggungjawab ibu bapa dan pendidik itu untuk menjadikan mereka cemerlang di dunia dan akhirat.

    Semoga hasil usaha team majalah Telaga Biru Sdn Bhd dan dibantu secara khusus oleh Stormreaders Sdn Bhd ini akan menjadi manual kepada kehidupan remaja dalam mengharungi kehidupan ke arah ketakwaan. Amin.

    Membina Generasi al-Quran Kreatif

    Di samping permulaan yang baik, komuniti Gen-Q mengharapkan kerjasama semua agar sama-sama membawa kemanisan Islam ke dalam hati generarasi kini yang amat memerlukan pembimbing. Gen-Q tidak akan membiarkan mereka terawang-awang tanpa tali sebagai pemandu.

    Kesudahannya, insya-Allah, setiap niat yang baik akan disusuli dengan perbuatan yang baik. Ayuh, kita bergerak bersama!

    Ciri-ciri GenQ

    1. Bicara daripada Quran dan Hadis yang diselaraskan dengan tuntutan zaman,
    2. Bersaiz kecil senang dibawa
    3. Dikemukakan dalam bahasa santai
    4. Penuh dengan persoalan dan jawapan
    5. Menunjukkan arah karier dengan uswah-uswah yang telah berjaya di kalangan Doktor perubatan, Doktor gigi, juruterbang, akauntan yang berminda Islamik
    6. Penuh dengan hikmah, petua, doa dan bimbingan berserta pengajaran,
    7. berwarna warni dengan kertas berkualiti
    8.I su-isu semasa untuk remaja seperti cinta dan petua untuk cemerlang


    Dapatkan buku ini dengan segera di Stormreaders Network Sdn Bhd atau hubungi mana-mana pengedar Stormreaders berdekatan dengan tempat anda.



    Tuesday, June 14, 2011

    Wednesday, June 8, 2011

    Bercuti di Fraser Hill

    Hari isnin dan selasa yang lalu saya bersama keluarga bercuti di bukit fraser pahang. Satu pengalaman yang menyeronokkan. Juga pergi bersama-sama kami nenek, pakngah makngah, acik ain, mat teh juga wak huzin, pmn hay dengan atuk tak ikut. Ya Bukit Fraser pusat percutian tanah tinggi ala-ala orang inggeris.....

    Perjalanan yang dan berliku-liku berbaloi dengan disajikan dengan pemandangan tanah tinggi yang terpelihara tanpa ada penebangan hutan untuk tujuan pertanian, tak macam Cameron Highland. Kami menginap di Witington Bungalow (milik sime darby) pak ngah kita kerja dengan sime darby.

    Aktiviti yang menarik yang sempat disana. Ya tentulah merasai kesejukan tanah tinggi bergambar, tengok orang main golf, main di taman sambil menahan sejuk bersama-sama adik fina dan nurin serta sepupu kita adam, aufa, akma, liyana dan juga lokman. Pengalaman yang paling menarik ialah jungle tracking sejauh 1200 meter di Bishop trail berdekatan dengan tempat kami menginap.

    Walaupun cuma 2 hari satu malam pengalaman ini sungguh menyeronokkan. Ayah dengan mam kata nanti kita boleh pegi lagi .... entah bilelah...

    Sejarah Bukit Fraser
    Terletak di negeri Pahang, di atas Banjaran Titiwangsa, Malaysia. Ia merupakan kawasan pelancongan pergunungan yang menarik kerana suhunya sejuk 17~24 Celcius. Puncak tertinggi Bukit Fraser ialah 1,280 meter dari aras laut. Kira-kira 104 kilometer dari bandar raya Kuala Lumpur. Bukit Fraser ini terletak di dalam Daerah Raub Pahang.

    Bukit Fraser mendapat nama dari seorang pengembara British pada zaman kolonial iaitu Louis James Fraser . Terdapat pelbagai cerita menarik tentang beliau tetapi tidak begitu jelas termasuk beliau sebagai pengeluar dadah opium dan perjudian di antara para pelombong di Pahang.

    Banyak bangunan dan banglo dibina mengikut cita rasa kolonial British. Dinding rumah dari batu konkrit besar yang disusun dan disimen. Warna dinding berwarna putih dengan diselang-seli warna hitam pada tiang jenang. Pagar rumah dibuat daripada pokok-pokok bunga . Lebar jalan raya agak terhad iaitu hanya dua lorong dan sukar untuk berselisih kereta. Tidak ada bas naik ke Bukit Fraser kerana jalan rayanya sempit, banyak selekoh berbahaya dan curam.

    Gambar-gambar kenangan

    Wednesday, May 4, 2011

    Hari-Hari Cikgu Main Bola





    Hargai jasa guru didik anak bangsa



    2011/05/16
    “CIKGU suka main bola, hari-hari cikgu main bola, Cikgu suka main bola, hari-hari cikgu tidur.

    “Cikgu sudah tidur mari kita main.”
    Demikian bait dipetik dari filem komedi popular berkisarkan kehidupan seorang guru. Betapa penting dan besarnya peranan guru dalam bilik darjah yang mampu mempengaruhi anak didiknya. Bak kata pepatah, guru kencing berdiri anak murid kencing berlari.
    Terdapat sindiran sinis dalam filem ini yang mampu membuka fikiran umum bahawa guru contoh terbaik dalam mewarnai dunia akademik. Jika guru tidak menjalankan peranan sebagai ejen mendidik maka akan terbentuk suatu keadaan yang dipaparkan itu.

    Guru golongan penting dalam pembangunan sesebuah masyarakat. Sebagai pendidik, mereka diamanahkan untuk membimbing, membentuk dan membina warga muda yang dapat memenuhi aspirasi negara.

    Jangan cuba sekali-kali menafikan sumbangan dan jasa guru kepada kita. Pengorbanan mereka mendidik anak bangsa sememangnya tidak dapat dipertikaikan.

    Kerajaan kini begitu agresif dan fokus dalam menjalankan perancangan dan strategi menggunakan pendekatan transformasi berkaitan aspek ekonomi, masyarakat, perkhidmatan, cara kerja dan pemikiran. Perubahan demi perubahan diolah supaya dunia pendidikan negara mampu bersaing di rantau dunia.
    Sempena hari guru ini, mari kita renungkan pencapaian diri, di mana kita berada? Adakah kita akan berada di tahap sekarang tanpa sokongan dari seorang guru? Tepuk dada tanya selera.

    Seseorang yang tidak pernah mengharapkan balasan dalam buatannya, seorang yang tekun mendidik walau ada murid mencebik, seorang yang tidak luntur minatnya memberi nasihat walaupun ada murid tidak berminat, seseorang yang menitiskan air mata apabila muridnya berjaya.

    Apa yang pasti, pengorbanannya wujud tanpa disedari, kesungguhannya wujud tanpa dirasa, kepayahannya wujud tanpa didengar dan perjuangannya wujud tanpa ada noktahnya. Terima kasih cikgu.

    SHAHRIL ANUAR ABDUL GHALIM,
    Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti
    Teknologi MARA Melaka

    http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Hargaijasagurudidikanakbangsa/Article/index_html

    Tulisan Arab Da

    Nasihat

    Nasihat untuk mereka yang bergelar anak.
    -dipetik dari Buku Hikayat Abdullah (Abdullah Bin And Kadi Munsyi)

    Maka setelah genaplah bulannya dan harinya, pada saat yang tersebut diatas itu, maka aku pun jadilah. Dan lagi, beberapa susahnya ia memeliharakan aku daripada waktu kecilku. Maka umpamanya jikalau barang suatu kena di kakiku, rasanya seperti di biji matanya. Demikianlah kasih ibu akan anak. Maka jikalau kiranya umurku seratus tahun lamanya, sentiasa aku berbuat kebaktian kepada ibuku sekalipun, belumlah pada-pada sekali aku berbalik dalam perutnya, dirasainya sakit itu. Maka pada masa aku kecil, tatkala ia tidur lelap bahawa menangislah aku; maka terkejutlah ia dengan tergopoh-gopoh serta pula dengan muka manis ia membujuk aku serta dihiburkannya akan daku dengan berbagai-bagai ragamnya dan nyanyinya, sehingga mengantuknya itu pun hilanglah, dipangkunya bermalam-malam, tersengguk-sengguk mengantuk pula serta diberinya susu aku hisap. Lagipun dengan hal miskin bondaku tiada berhamba dan tiada pula beradik kakak yang menolong akan dia. Sebab kasihnya akan daku, dipangkunya juga, maka tiada pula ia percaya memberikan aku ke tangan orang lain, takut barangkali orang mengapakan akan daku.

    Syahadan, jikalau aku terkenang-kenang akan kasih ibuku itu, adalah aku menanggung seberat bumi dengan langit kasih ibu bapa itu, tiadalah ia dapat aku membalas, melainkan sehari-hari aku mendoakan dia mudah-mudahan diberi Allah akan dia syurga / tempat kediamannya, bersama-sama dengan segala orang yang telah dikasihani Allah akan dia selama-lamanya. Amin! Amin! Amin!

    ****

    Dengarkan olehmu, hai sekalian anak yang berbudi dan yang berbahagia, bahawa demikianlah besarnya kebajikan ibu bapa itu akan anaknya. Adakah patut kita derhaka akan dia dan tiada kita menurut akan perintahnya dan kita memecahkan hatinya dan kita mengeluarkan air matanya? Maka adalah beberapa anak-anak pada zaman ini yang telah kulihat menderhaka akan ibu bapanya. Maka ada pula yang memukul dan memaki ibu bapanya itu. Dijauhkan Allah kiranya aku daripada anak-anak isi neaka itu! Maka tiadalah aku lanjutkan akan perkataan ini karena bukannya hajatku mengarang yang demikian. Maka jikalau kiranya aku karangkan darihal kasih ibu bapa akan anaknya, nescaya cakaplah kujadikan suatu kitab yang terkaya adanya daripada kitab ini bagi segala orang yang budiman.

    Selamat Hari Ibu!
    untuk mama...

    dari ayah, akmal, nurin dan fina

    Tuesday, May 3, 2011

    Sekolah Buta Huruf

    Surat Pembaca Berita Harian

    Mana resolusi ringankan beban guru?


    http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Manaresolusiringankanbebanguru_/Article
    04/05/2011

    APABILA memperkatakan mengenai isu beban kerja berlebihan yang dihadapi guru sekolah boleh diibaratkan seperti air pasang. Ada naik dan ada surutnya. Isu ini akan timbul sekejap dan bermacam perdebatan akan dapat kita baca dan ikuti, baik di dada akhbar atau sumber media massa yang lain. Kemudian secara perlahan-lahan ia akan senyap dan lenyap kembali.

    Guru pun mungkin sudah tidak berminat lagi untuk menyuarakan perasaan mereka berkaitan hal ini malah, terpaksa menerima hakikat bahawa tiada apa yang akan berubah dalam isu ini.

    usteru, apakah hasil daripada jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Kementerian Pelajaran untuk mengkaji beban kerja guru yang dikatakan kian bertambah ini? Sudah hampir setahun jawatankuasa ini ditubuhkan, tetapi apakah hasil serta tindakan susulan daripada kajian itu.
    Apa yang nyata, guru terus dibebankan waktu mengajar yang terlampau banyak dan ditambah pula terpaksa memikul tugas yang di luar bidang hakiki mereka. Ada guru dipertanggungjawabkan ini untuk mengajar sehingga 28 waktu seminggu. Itupun selepas terpaksa berjumpa dan merayu dengan pihak pentadbir sekolah untuk mengurangkan waktu mengajar yang pada asalnya ditetapkan sebanyak 31 waktu mengajar.

    Itu belum lagi ditambah dengan tugas lain seperti guru disiplin, guru kelab dan persatuan serta bermacam lagi tugas ‘perkeranian’ yang terpaksa dihadapi. Jadi apa bezanya keadaan sebelum dan selepas jawatan kuasa itu ditubuhkan?

    Walaupun ada pembantu guru yang dihantar untuk membantu dan meringankan beban kerja guru, tetapi apa yang terjadi adalah sebaliknya. Pembantu guru ini diambil kesempatan pula oleh pihak pentadbir sekolah untuk meringankan kerja mereka sendiri. Akhirnya bukan guru yang mendapat manfaat daripada kehadiran pembantu guru ini, tetapi yang untungnya adalah pihak pentadbir sekolah.

    Saya berharap agar kerajaan dan Kementerian Pelajaran bersikap lebih telus dan serius untuk menyelesaikan masalah beban kerja guru ini. Bukannya sekadar duduk di pejabat, menerima laporan daripada pegawai mereka dan kemudiannya membuat dasar yang tidak bersandarkan realiti sebenar masalah perguruan di negara ini.

    MIENAMI,
    Puchong, Selangor.

    Sunday, April 24, 2011

    Surat Pembaca Berita Harian

    Wujud sekolah khas murid lemah

    http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Wujudsekolahkhasmuridlemah/Article/index_html


    21/04/2011

    SAYA begitu tertarik dengan cadangan kerajaan untuk memperuntukkan dana yang berjumlah RM28 bilion bagi pembiayaan pengajian rakyat Malaysia untuk peringkat pengajian tertinggi. Alhamdulillah, semua ini adalah suatu usaha yang amat baik. Tetapi harus diingat, kerajaan juga perlu menyuntik dana yang besar untuk pembangunan pendidikan rendah dan menengah bagi pemantapan modal insan sebagai produk masa depan negara.

    Apa yang saya ingin kongsi dengan pembaca Berita Harian ialah pengukuhan asas yang diberikan kepada kanak-kanak dan remaja pada peringkat awal adalah amat penting bagi membina potensi diri sebagai arah tuju kelangsungan hidup mereka pada masa depan.

    Cuba kita lihat permasalahan sosial yang berlaku pada hari ini. Puncanya ialah kerana asas didikan agama pada peringkat awal tidak mencukupi. Hidup mereka terabai dengan tiadanya kasih sayang, perhatian, tunjuk ajar dan bimbingan agama menyebabkan mereka mudah terjebak kepada kejahatan.
    Cetusan idea revolusi pendidikan yang bestari mampu mengubah permasalahan ini. Pendidikan adalah petunjuk terpenting dalam impian negara mencapai cita-cita menjadi negara maju. Sekiranya Malaysia tidak berani mengubah idea pendidikannya, signifikan kemajuan itu tidak akan tercapai khususnya Bumiputera.

    Antara idea yang boleh difikirkan oleh kerajaan ialah mewujudkan Sekolah Khas Bersama Vokasional. Sekolah ini hanya untuk diisi oleh murid yang lemah dan sederhana dalam pelajaran. Kriteria lain juga ialah murid yang miskin dan berpendapatan sederhana, keluarga yang bermasalah serta keluarga yang tidak mempunyai matlamat hidup bagi anak mereka khususnya di luar bandar.

    Pengambilan pelajar ini bermula daripada tingkatan satu lagi. Mereka hendaklah ditempatkan di sekolah khas ini dengan diberikan pendedahan asas mengenai dunia vokasional. Mereka diwajibkan tinggal di asrama dan mereka harus diajar untuk hidup berdikari.

    Pembelajaran hanya membabitkan subjek yang perlu saja seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Pendidikan Islam. Jangan dibebankan mereka dengan terlalu banyak subjek.
    Modul pelajaran mereka hanya bertumpu kepada bidang vokasional.

    Pengisian agama perlu diberikan penekanan utama seperti tidak meninggalkan solat, mempelajari ilmu agama dan mampu untuk menjadi imam.

    Di sekolah khas ini juga mereka harus didedahkan dengan dunia perniagaan. Pelajar harus diajar cara untuk berniaga supaya mereka mendapat pendedahan mengenai bidang pemasaran perniagaan.

    Binalah sekolah khas ini di seluruh negara. Walaupun ia membabitkan modal yang besar, tetapi pulangannya akan memberikan keuntungan yang berlipat kali ganda.

    CIKGU MOHD NORHIESYAM KAMLAUDIN

    Wednesday, April 13, 2011

    Surat Pembaca Berita Harian

    Tangani masalah disiplin pelajar sebelum parah

    http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Tanganimasalahdisiplinpelajarsebelumparah/Article/index_html

    13/04/2011

    INDEKS gejala sosial membabitkan remaja dan belia Melayu menunjukkan peningkatan mendadak. Kes jenayah seperti rogol, pembunuhan, sumbang mahram, pergaulan bebas serta pembuangan anak seolah-olah tidak mampu dikawal lagi.

    Setiap hari ada saja pendedahan membabitkan golongan remaja Melayu sehingga kita merasakan negara ini bagaikan tiada peraturan dan undang-undang yang mampu menyekat semua perbuatan di luar norma kemanusiaan ini.

    Pendidikan agama yang diperkenalkan seawal pendidikan prasekolah hingga ke universiti tidak mampu membendung gejala negatif yang merebak kesan ledakan teknologi maklumat yang tidak ditapis.
    Akibatnya, kita dapat menyaksikan bagaimana sekolah yang sepatutnya menjadi terapi merawat jiwa pelajar dengan unsur keagamaan dan kerohanian bertukar menjadi medan melepaskan perasaan dendam dan amarah yang meluap-luap.

    Kes pergaduhan kian meningkat hingga pelajar pandai membawa senjata berbahaya ke dalam sekolah demi membalas dendam terhadap rakan akibat sedikit salah faham.

    Sudah sampai masa guru, pentadbir sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta gabungan pertubuhan bukan kerajaan termasuk juga pihak penguat kuasa seperti polis berbincang mencari langkah terbaik menangani gejala yang membarah ini.

    Pada peringkat komuniti, program keagamaan seperti usrah, ceramah motivasi serta kelas Fardu Ain untuk remaja perlu diadakan sekerap mungkin termasuk mewajibkan remaja dan belia menyertai apa saja program ilmiah serta agama sebegini.

    NAZRI HUSSEIN,
    Bandar Chukai, Kemaman.

    Surat Pembaca Berita Harian

    Pendidikan awal langkah terbaik tangani masalah buta huruf

    http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pendidikanawallangkahterbaiktanganimasalahbutahuruf/Article

    14/04/2011

    NEGARA kita masih lagi mempunyai murid yang tidak tahu membaca dan menulis apabila berada di Tahun Satu, terutama di luar bandar.

    Ini memberikan gambaran bahawa mereka tidak diberikan pendedahan ilmu asas membaca dan menulis di rumah oleh keluarga mereka. Antara faktor kepada fenomena ini ialah keluarga miskin, keluarga tidak mementingkan pelajaran, keluarga terumbang-ambing dan memang keluarga itu juga buta huruf.

    Apabila tidak mendapat pendidikan secara asas di rumah, maka menjadi satu kesusahan kepada murid itu sendiri apabila melangkah ke alam persekolahan. Guru terpaksa bekerja keras untuk mengajar mereka mengenal huruf.
    Proses pembelajaran ini memakan masa yang lama dan ada juga yang masih belum boleh membaca walaupun berada di Tahap Dua. Keadaan ini amat menyedihkan kepada murid-murid yang tidak bersalah ini yang menjadi mangsa.

    Saya mencadangkan agar Kementerian Pelajaran membuat satu revolusi baru dalam dunia pendidikan dengan mengambil inisiatif menjadikan pendidikan awal sebagai dasar utama kepada kecemerlangan pendidikan.

    Pihak kementerian harus mewujudkan sebuah badan khas yang bertanggungjawab melaksanakan peranan menghapuskan masalah buta huruf dalam kalangan kanak-kanak.

    Idea paling praktikal yang boleh dilaksanakan ialah dengan mencari kanak-kanak seawal umur empat tahun yang terbiar akibat keluarga miskin, keluarga tidak sedar mengenai kepentingan pendidikan dan keluarga bermasalah khususnya di luar bandar.
    Kanak-kanak ini harus ditempatkan di sekolah khas dan berasrama penuh dan dijadikan sebagai anak angkat kementerian.

    Barulah kanak-kanak ini dapat mengenal apa itu A, B,C dan 1,2,3. Hidup mereka juga akan pasti lebih teratur, kemas, bersih dan yang penting mereka mempunyai cita-cita.

    Pendidikan adalah teras utama kepada jatuh bangunnya sesebuah tamadun itu. Bangsa yang maju ialah bangsa yang cerdik.

    Semoga dunia pendidikan tanah air akan terus berkembang dengan pesat dengan idea baru dan perancangan hebat dan menjadi nadi utama kepada penggerak kemajuan negara.

    GURU SEKOLAH,
    Larkin, Johor Bahru.

    Tuesday, April 12, 2011

    'Kami tidak cacat!'

    Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar
    12/04/2011











    Lebih kromosom punca SD

    TARIKH 21 Mac adalah istimewa. Ia ditetapkan sebagai Hari Sindrom Down Sedunia dan angka ini ini melambangkan tiga salinan untuk kromosom ke-21; keadaan genetik yang dikenali sebagai trisomi 21 atau Sindrom Down (SD).

    Ramai meragui kemampuan dan kebolehan kanak-kanak SD dalam melakukan sesuatu, malah ada turut melihat golongan itu tidak boleh berdikari serta tidak boleh diberi tunjuk ajar.

    Pandangan atau kenyataan seperti itu sama sekali tidak tepat. Walaupun diakui pencapaian kanak-kanak SD di Malaysia ketika ini belum boleh dibanggakan, hakikatnya mereka juga ada keistimewaan. Malah, tidak mustahil, ada antaranya boleh mencapai tahap lebih baik daripada kanak-kanak normal.

    baca seterusnya....

    Utusan Malaysia Online - Hiburan















    Boboi Boy adiwira hebat


    Oleh KHADIJAH IBRAHIM
    khadijah.ibrahim.com.myhttp://www.blogger.com/img/blank.gif
    Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN


    TANYA sahaja pada kanak-kanak, siapakah adiwira atau superhero pujaan mereka, pasti ada yang menjawab Ben 10, Shinichi Kudo dalam siri Detective Conan, Ultraman dan sebagainya.

    Bukan kanak-kanak sahaja yang meminati siri animasi berkenaan, malah orang dewasa pun turut mengikutinya seperti mana siri kartun Upin & Ipin yang berjaya mencipta fenomena sebelum ini.

    baca seterusnya...

    Monday, April 11, 2011

    Hero kanak-kanak terbaru.. Boboiboy















    INFO

    > Boboiboy adalah cerita animasi untuk tontonan kanak-kanak yang diilhamkan oleh barisan animator muda berumur lingkungan 20-an daripada Animonsta Studios (AS) yang berpangkalan di Cyberjaya
    > Penggerak utama yang mengendalikan AS adalah Mohd Nizam Abdul Razak, Mohd Safwan Ab Karim, Kee Yong Pin dan Muhammad Anas Abdul Aziz yang pernah menjayakan animasi popular Upin & Ipin
    >Boboiboy menelan kos perbelanjaan kira-kira RM2 juta dan mendapat kerjasama daripada agensi Cradle Fund Sdn Bhd yang akan membantu menyalur dana bagi merealisasikan projek terbabit
    > Agensi kerajaan, termasuk Pusat Kandungan Kreatif Multimedia Malaysia (MAC3) di bawah Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) membekalkan beberapa perisian untuk kemudahan AS menghasilkan Boboiboy
    > Boboiboy dijangka ditayangkan pada pertengahan tahun ini membabitkan 26 episod dan setiap satunya dengan durasi 11 minit
    > Maklumat lanjut mengenai Boboiboy di laman web www.animonsta.com

    SINOPSIS RINGKAS BOBOIBOY
    > Boboiboy adalah kisah mengenai watak Boboiboy bersama rakannya Yaya, Ying dan Gopal yang memiliki kuasa luar biasa menentang makhluk asing yang ingin menawan bumi
    > Makhluk asing yang turun ke bumi membawa pulang biji kopi ke planet mereka, namun kerana aroma dan rasa kopi sungguh sedap, seluruh kroni makhluk asing itu sanggup turun ke bumi semata-mata untuk mendapatkan kopi berkenaan
    > Boboiboy dan rakannya cuba menghalang tindakan makhluk asing terbabit hingga tercetus konflik dan pergolakan sesama mereka





    Sunday, March 20, 2011

    Mufti Perak bimbang umat Islam marah, tak puas hati











    Isu Al Kitab: Mufti Perak bimbang umat Islam marah, tak puas hati
    The Malaysian Insider – Fri, Mar 18, 2011 7:45 AM MYT


    KUALA LUMPUR, 18 Mac — Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria memberi amaran keputusan Putrajaya untuk melepaskan naskhah kitab Injil yang ditahan Kementerian Dalam Negeri di Pelabuhan Klang dan Kuching akan membawa kepada rasa tidak puas hati dan kemarahan orang umat Islam.

    Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Harussani berkata beliau bimbang umat Islam akan bangkit menentang keputusan itu dan menyebabkan lebih banyak ketegangan dalam situasi semasa yang dilihat sangat sensitif.
    “Saya takut, apa pun boleh berlaku di sini. Orang tidak gembira dan apa jua boleh berlaku,” kata beliau lagi.

    Harussani berkata beliau telah berusaha untuk berhubung dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sejak mendengar keputusan itu Selasa lalu bahawa kerajaan telah memutuskan untuk memenuhi gesaan pemimpin-pemimpin Kristian dan beberapa parti politik agar melepaskan Al Kitab, dalam Bahasa Malaysia, yang ditahan oleh Kementerian Dalam Negeri.
    “Tetapi, saya tidak dapat bercakap dengan beliau (Najib) dan pembantu beliau juga tidak dapat menawarkan saya dengan sebarang maklumat,” katanya lagi.
    Masyarakat Kristian dan Islam negara ini terlibat dalam ‘rebutan’ berkaitan dengan penggunana kalimah Allah sejak beberapa tahun lalu dan ia berakhir dengan kes mahkamah di mana pada akhir 2009 keputusannya memihak kepada gereja Katolik yang menerbitkan akhbar The Herald.

    Bagaimanapun Peguam Negara membuat rayuan dan ia masih di peringkat Mahkamah Rayuan.
    Umat Islam menganggap kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh mereka.
    Bagaimanapun penganut Kristian pula berhujah ia adalah perkataan Arab yang turut digunakan oleh pengiut agama lain termasuk Yahudi bagi merujuk kepada Tuhan, termasuk di negara-negara Arab dan Indonesia.

    Harussani berkata, tidak kira sama ada isu itu masih didengar di mahkamah atau sebaliknya, kalimah Allah hanya harus digunakan oleh umat Islam dan eksklusif bagi mereka.
    Harussani juga berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara pada 25 Mac ini untuk membincangkan perkara tersebut dan berusaha memujuk pihaknya agar menghentikan pelepasan naskhah Al Kitab.

    “Saya juga akan cuba bertemu dengan Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri. Saya akan bercakap dengan mereka,” katanya lagi.

    Harussani menambah, beliau tiada pilihan memandangkan berhadapan dengan tekanan daripada masyarakat Islam untuk menghentikan naskhah-naskhah itu daripada dikeluarkan.
    “Sejak diumumkan tentang pelepasan (naskhah Al Kitab), saya menerima SMS demi SMS. Umat Islam memberitahu saya yang mereka marah dan mereka bertanya saya, mencabar saya ... apa yang hendak dilakukan?

    “Disebabkan saya selalunya lantang dalam isu-isu ini, jadi apa yang perlu saya lakukan? Saya akan cuba bertemu dengan kementerian,” katanya lagi.
    Harussani berkata umat Islam tidak menentang penggunaan kitab Injil dalam Bahasa Malaysia, tetapi hanya perkataan Allah yang digunakan sebagai pengganti kepada Tuhan.
    “Alasan kami mudah. Islam adalah agama rasmi di negara ini dan Allah, dalam al-Quran, didefinisikan sebagai “Yang Maha Tunggal’, yang bermakna satu-satunya Tuhan,” kata beliau lagi.

    Harussani berkata meskipun kementerian membenarkan pelepasan dengan dua syarat tetapi tiada jaminan bahawa naskhah-naskhah itu tidak akan sampai ke tangan Muslim.
    “Apa jaminan yang mereka ada? Apa jaminan yang mereka ada bahawa mereka (masyarakat Kristian) tidak akan menyebarkannya kepada Muslim?

    “Mereka akan berkata, oh, kami tidak memaksa mereka (Muslim) untuk mengambil kitab itu, mereka sendiri akan mengambil. Jadi mengapa mencetuskan masalah ini?” katanya lagi.
    Selasa lalu, kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran dan pengedaran secara terhad dan terkawal kitab Injil dalam Bahasa Malaysia, yang ditahan di Pelabuhan Kuching Sarawak, dan Pelabuhan Klang.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala berkata langkah kerajaan itu adalah selaras dengan warta 1982 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dan kitab itu mesti dicop dengan tag “Untuk Penganut Agama Kristian sahaja”.

    “Sejak peruntukan undang-undang itu digunakan pada tahun 1982, tiada sebarang masalah atau isu yang timbul dengan pelaksanaannya,” katanya.
    Selain itu, Idris berkata kajian teliti oleh Jabatan Peguam Negara juga mendapati pengeluaran kitab-kitab itu tidak akan menggangggu dalam prosiding mahkamah berkaitan penggunaan kalimah Allah.

    “Oleh itu, dalam konteks berikut Kerajaan telah dapat secara amnya mengeluarkan kitab Injil tersebut,” katanya.

    Monday, January 24, 2011

    Sunday, January 23, 2011

    PASTI NEGERI SELANGOR







    Hubungi Kami

    Pejabat Sekretariat PASTI Negeri Selangor
    No. 4, Jalan 6, Taman Mesra Batu 13 1/2 Jln Cheras-Kajang,
    Kajang, Selangor.
    Tel/Fax : 03-8733 5850

    Sumbangan

    Untuk Dana Pembangunan Pusat Asuhan Tunas-Tunas Islam Negeri Selangor,
    sila masukkan ke akaun BIMB :
    Nama : Dana Pembangunan PASTI Negeri Selangor
    Akaun BIMB : 12-092-01-003290-3


    http://pastinegeriselangor.blogspot.com/